Loader
  1. HOME
  2. BIO
  3. MERCH
  4. SHOWS
  5. NEWS
  6. MUSIC
  7. GALLERY
  8. CONTACT

Puteri City Pop Joanna & Co Kembali Dengan Album Baharu – Nostradansa

Monday, August 2023

Joanna & Co merupakan sebuah band yang tidak asing lagi dalam arena muzik alternatif tempatan dan pernah menempa nama dengan beberapa lagu hits seperti Aku Pelangi dan Lutsinar tidak lama dahulu. Unit yang masih aktif berpentas sejak tahun 2006 ini nampaknya masih belum pudar cahaya dengan peluncuran album terbaharunya berjudul Nostradansa pada 5 Ogos 2023 baru-baru ini di Atas Angin Festival 2023.

Menurut vokalisnya Joanna Renisa, album ini memakan masa lebih dua tahun bermula dari proses penulisan lagu hinggalah ke studio rakaman. Mengambil inspirasi daripada ikon-ikon wanita dalam dunia muzik seperti Cyndi Lauper, Pink dan Madonna, band yang turut dianggotai oleh Jay Cugat, Meor dan Kusha bersama-sama memerah idea dan kudrat dalam penghasilan album kali ini. Joanna juga menyatakan proses rakaman album ini dijalankan di beberapa studio seperti Greenhouse Studio dan Hotsound Studio di sekitar Lembah Kelang.

“Kami mengalirkan hati dan jiwa kami dalam mencipta ‘Nostradansa.‘ Ini adalah album yang mencerminkan perkembangan kami sebagai artis dan mempamerkan kepelbagaian pengaruh muzikal kami. Kami tidak sabar untuk semua orang mendengarnya!,” ujar Joanna lagi.

Dimulakan dengan lagu Kini Ku Sepi yang bernuansa City Pop, lagu ini sangat catchy dan seakan sebuah bayangan untuk keseluruhan album ini. Walaupun dari segi lirikalnya lagu ini berkisar tentang cinta yang terputus, namun kesedihan itu terbalas dengan melodi dan gubahan lagu yang sangat menarik. Kini Ku Sepi sebenarnya telah dilancarkan sebagai single tiga tahun lebih awal iaitu pada bulan Mac 2020. Naskah ini mendapat sambutan yang sangat baik dan pernah ditampilkan oleh kami di sini.

Beralih ke trek ke-3, lagu bertajuk Nostradansa yang juga merupakan tajuk album. Sebuah lagu yang sesuai untuk dijadikan lagu pembuka untuk konsert mereka. Rentak lagu yang akan membuatkan para penonton terinjak-injak menghayati groove lagunya. Bassline yang sedap dilengkapkan dengan guitarplay wah-wah yang kemas, memang lagu ini dicipta untuk menari tanpa henti, tepat dengan tajuknya Nostradansa.



Dalam lagu Lindungiku pula, kali ini dapat didengarkan suara Joanna Renisa seakan diuji pada pitch yang lebih tinggi. Sebuah lagu emosi yang membawa perasaan ke daerah yang lebih dalam. Gubahan yang baik dan memberikan rasa yang berbeza berbanding lagu-lagu lain dalam album ini.

Forever, satu-satunya trek berbahasa Inggeris yang dimuatkan di dalam album ini cukup untuk membuat kita terbuai-buai mendengarnya bersama pasangan kekasih hati, suami ataupun isteri. Melengkapkan rasa keseluruhan album ni.

Terdapat lapan buah lagu di dalam album ini yang telah tersedia di semua platform digital termasuk lagu Saksikan, XoXo, Biru dan juga Kini Ku Sepi yang dirakamkan secara akustik. Manakala satu trek ekslusif Selamat Datang Ke Duniaku duet bersama Ojie Stonebay hanya terdapat di dalam rilisan CD fizikal menjadikan jumlah sembilan buah lagu kesemuanya. Strategi bonus track begini pasti memberi nilai untuk memiliki CD fizikal mereka.

Tanpa perlu ramalan yang luar biasa, Nostradansa sememangnya album yang baik, bakal mengikat peminat lama dan juga generasi baharu. Kita nantikan Joanna & Co berpentas dan berpesta dengan Nostradansanya di masa mendatang.

Ikuti laman sosial mereka untuk perkembangan terkini termasuk jelajah album mereka nanti.

Source : https://musicaddicts.my/puteri-city-pop-joanna-co-kembali-dengan-album-baharu-nostradansa/