Loader
  1. HOME
  2. BIO
  3. MERCH
  4. SHOWS
  5. NEWS
  6. MUSIC
  7. GALLERY
  8. CONTACT

Konsert Indie Alliance Buka Tirai Tahun 2023 Dengan Bergaya

Saturday, January 2023

Permulaan tahun baharu 2023 disambut meriah dengan penganjuran konsert Indie Alliance di Zepp Kuala Lumpur pada 1 Januari lalu. Eraventures Events dengan kerjasama LampuNeon sebagai penganjur berjaya membawa acara hebat ini ke venue antarabangsa dengan membariskan enam band independent terkenal tanah air seperti Tilu, Armpunk Sindicate, Naratu, Joanna & Co, The Times dan Gerhana Skacinta.

Tirai dibuka dengan persembahan daripada Tilu sekitar jam 5 petang, kemudian Armpunk Sindicate mengambil alih pentas Zepp KL dan memanaskan suasana dengan penonton yang hadir rancak berdansa dan berpogo. Naratu kemudian memeriahkan lagi suasana dengan persembahan mereka yang sangat energetik dan mengegarkan. Hampir 1,000 penonton yang hadir nyata terhibur dengan hidangan pelbagai genre yang ditawarkan.

Konsert berehat seketika untuk memberi laluan kepada waktu maghrib. Sekitar pukul 8 malam konsert disambung dengan persembahan Joanna & Co. Mereka menyanyikan 11 buah lagu di antaranya Lutsinar, Biru (lagu baru) dan Saksikan. Joanna juga membawa Joey Stonebay menerusi lagu Selamat Datang Ke Duniaku dan Kalau Cinta.

Selepas itu, The Times yang membawa nuansa indie rock and roll muncul menjadi band yang ditunggu-tunggu oleh penonton setelah mereka mendendangkan lagu-lagu hits mereka. Dengan trek seperti Manusia Serigala, Separa Sedar, Pesona Algebra dan Gadisku Dalam Koma, Naza turut menghadiahkan kasut Doc Martens secara percuma kepada penonton menerusi balingan secara rawak.

Konsert diakhiri dengan persembahan Gerhana Skacinta dengan membawakan lagu-lagu seperti Brand New Day, Time Will Tell, Right Track serta Anyir dan Jakarta yang pernah dipopularkan oleh Sheila Majid. Di pengakhir acara, Gerhana Skacinta membawakan persembahan ikonik mereka dengan lagu Ali Baba Ska.  

Indie Alliance memberi sebuah pengalaman yang pastinya tidak mudah dilupakan oleh penonton-penonton yang hadir. Konsert ini membuktikan peminat muzik independent masih mempunyai peminat yang tersendiri dan pihak penganjur juga membuktikan bahawa band-band sebegini turut layak beraksi di pentas bertaraf antarabangsa seperti Zepp KL. Syabas dan tahniah kami ucapkan!


Source : https://musicaddicts.my/konsert-indie-alliance-buka-tirai-tahun-2023-dengan-bergaya